Thursday, February 26, 2009

hukum newton pertama


Hukum Newton Pertama:
“Sesuatu objek akan kekal pada keadaan asalnya sama ada pegun atau halaju malar sekiranya tiada DAYA LUAR yang bertindak ke atasnya”

Bagi sebahagian ahli agama, Hukum Pertama Isaac Newton ini sekadar mengenengahkan teori materialisme dan menyatakan teori alam yang terjadi dengan sendiri. Bagi mereka perkara ini amat tidak selari dengan konsep Pencipta seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quran serta ilmu warisan yang diimani turun temurun. Ekoran itu timbul pandangan negatif bahwa teori ini batil serta kesimpulan kufur yang mengatakan sains membawa kepada kesesatan. Tambahan pula Isaac Newton adalah seorang YAHUDI. Lastas dengan kejumudan yang ada, tanpa pemahaman yang dalam serta lampu merah pada hati untuk berfikir membuatkan hukum ini di tolak mentah-mentah dan dianggap 100% berpaling daripada konsep keagamaan.

“Kalau kiranya Allah mengetahui kebaikan ada pada mereka, tentulah Allah menjadikan mereka dapat mendengar. Dan jika Allah menjadikan mereka dapat mendengar, niscaya mereka pasti berpaling juga, sedang mereka memalingkan diri (dari apa yang mereka dengar itu).” (Al-Anfall:23)

Pun begitu, jika disokong dengan sedikit pertimbangan waras akal ternyata HN1 ini teramat logik serta mampu diterima akal.

Contoh 1:
Batu yang kelihatan statik pada pandangan mata kasar sebetulnya mengalami perubahan ketebalan diameter dalam kadar yang amat kecil dek tindak balas udara terhadap permukaannya. Malahan atom-atom yang menyifatkan batu tersebut selamanya bergetar dengan getaran frekuensi aslinya.

Contoh 2: Pergerakan cahaya dari matahari ke bumi dalam ruang vakum di angkasa lepas yang dikatakan berhalaju malar turut mempunyai perbedaan halaju sepanjang sesarannya. Perubahan halaju akan berlaku dek perlanggaran dengan zarah-zarah terampai di angkasa lepas atau sentuhan dengan molekul-molekul ozon sewaktu memasuki ruang angkasa bumi.

Oleh yang demikian, KEADAAN UNGGUL yang mengatakan objek selamanya berkeadaan pegun atau kekal halaju malar tidak pernah berlaku di dunia ini! Jika ia berlaku, pasti itulah keadaan sebelum adanya kehidupan!

“Dan tidakkah manusia itu memikirkan bahwa sesungguhnya Kami telah menciptakannya dahulu, sedang ia tidak ada sama sekali?” (Maryam: 67)

Yang nyata, tanpa daya nescaya tiada sungai yang mengalir atau sekira wujud aliran pasti ianya tanpa riak. Tanpa riak maka tiada deru. Tiada riak dan deru hadirlah sunyi, bisu dan kaku. Semua berkeadaan DIAM dan MATI. Di sini amat jelas lagi mempernyatakan akan pengaruh DAYA dalam meimarahkan kehidupan! Daya menjadi proksi TUHAN dalam menghidupkan alam ini serta melahirkan sifat pada alam lantas merealitikan KALAM TUHAN. Maka, HN1 jelas benar malah ia jua selari dengan konsep penciptaan TUHAN.

Seharusnya tiada prejudis pada setiap ilmu. Apa yang lebih indah ialah setiap ilmu ditahkik dalam-dalam, dihadam-faham dan disiraturahimkan kepada konsep keESAan TUHAN tanpa prejudis kepada asal sumbernya.
Malah jika diperhalusi, kesimpulannya adalah jelas bahwa semua ilmu hanya datang dari TUHAN,ciptaan TUHAN serta persembahan TUHAN meskipun ia melalui YAHUDI, NASRANI, MAJUSI atau ISLAM.

Tanpa pemahaman kepada konsep kesepaduan ilmu serta konsep keESAanTUHAN isu positif-negatif, benar-salah, sesat dan murtad, syurga-neraka serta Islam-kafir akan terus berpanjangan. Gagalnya golongan agama untuk memahami konsep keESAan TUHAN secara total sama gagalnya Newton melanjutkan hukumnya kepada konsep Penciptaan TUHAN. Keduanya umpama dua kali lima dan masing-masing ialah objek dan imej keapada satu sama lain.

Oleh yang demikian, perbezaan itu perlu disatukan, Islam-kafir perlu disepadukan dan positif-negatif perlu diadunkan menjadi lagu dan irama.
Pada hakikatnya Qada’ dan kadar itu berbeza tetapi keduanya bersatu membentuk satu rukun lantas melengkapi IMAN.

“Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia.” (Yassin: 82)

Bahawasanya Ma’ani TUHAN itu disainskan dengan istilah DAYA LUAR yang lahirnya ia dari kesepaduan KUN.


Aku pulang pada kalian (yang terbanyak)

Sunday, February 22, 2009

Nyatanya Kenyataan



Isaac Newton :-
"Setiap objek akan kekal pegun atau bergerak pada halaju seragam jika tiada daya luar yang bertindak ke atasnya"
-Yang pegun itu DIRI yang bergerak itu KHAYAL. Daya luar itu KALAM.

Albert Einstein :-
"Masa akan perlahan sekiranya sesuatu objek itu menghampiri kelajuan cahaya"
-CAHAYA adalah titik mula. Di titik mula semua akan DIAM.

Hang Tuah :-
"Tidak akan Melayu hilang di dunia"
-MELAYU itu MANUSIA. MANUSIA itu DIRI. DIRI itu DUNIA.

P. Ramlee :-
"Irama dan lagu tidak boleh dipisahkan"
-Kerna irama itu ZAT dan lagu itu SIFAT.

Aku pulang pada kalian (yang terbanyak)

Tuesday, February 17, 2009

Ilmu


Memenuhkan DADA dengan ILMU itu adalah SYARIAT.
Menemukan ILMU untuk mengosongkan DADA adalah TAREQAT.
DADA yang KOSONG adalah HAKIKAT
.
Satukan SYARIAT, TEREQAT, HAKIKAT dalam kelambu MAKRIFAT.


Nota Kaki: Illustrasi Al-Kitab dimuat turun dari w3.tbs-x.blogsport.com

Aku pulang pada kalian (yang terbanyak)

Sunday, February 15, 2009

Manusia Kitar Semula


Di pertengahan tahun 90an, Gerakan Muzik Bawah Tanah Malaysia (MALAYSIAN UNDERGROUND SCENE) telah menapak ke satu aras baru yang mana sebelumnya ia agak tertutup dan wujudnya tersembunyi. Penganjuran konsert @ gig lebih kerap diadakan pada waktu itu. Piccadilly bersebelahan Kompleks Atria di Damansara Utama adalah antara lokasi gig yang masyur waktu itu yang seringkali menampilkan kumpulan/band UG tempatan seperti Boot Off, Bollock, Caburator Dung, Project A.K, N.E.T, The Pilgrim, A.C.A.B, Sub-Culture, OAG dan juga Butterfingers (sekadar menyebut beberapa nama yang masih tersemat di dalam memori).


Perkembangan dan infomasi UG tempatan kebanyakannya disebarkan melalui majalah buatan tangan (zine) yang difotokopi dan diedarkan dari tangan ke tangan. Modus operandi sebeginilah menjadi degup jantung UG tempatan hingga ke hari ini. Zine-zine ini selalunya spesifik kepada aliran muzik tertentu yakni zine grunge semestinya mengisahkan perkembangan grunge, punk untuk punk dan seterusnya bagi aliran muzik-muzik yang lain. Antara aliran muzik yang popular pada masa tersebut ialah Punk, Oi!, Grunge, Brit-Pop/Indie dan Hard Core (yang menghadirkan kumpulan seperti Sepultura, Linkin Park, Korn).


Apa yang menarik pada UG ialah setiap cabang muzik mempunyai identiti pemakaian tersendiri. Kita boleh melihat pengikut Punk dengan rambut "spiky" mereka serta kumpulan Oi! pula penampilannya yakin dengan berkepala botak lantas mereka lebih dikenali dengan Skin Head. Grunge pula tidak lepas dengan jeans serta round neck T-shirt yang dipasangkan dengan Convers All Star . Manakala Hard Core pula kemas tampil dengan pakaian ala Rappers.


Kebanyakan peminat/pengikut/pejuang UG ini adalah dari golongan remaja yang rata-ratanya adalah pelajar. Latar belakang sebagai pelajar menjadikan sumber kewangan mereka terhad. Maka premis alternatif untuk membeli pakaian ialah kedai pakaian terpakai a.k.a BUNDLE. Bundle menjadi pilihan utama kerana pilihan yang pelbagai selain harga yang murah untuk pakaian yang berjenama.


Namun, pemakaian pakaian 2nd hand ini melahirkan rasa kurang enak bagi rata-rata dewasa, ibubapa dan kebanyakan masyarakat. Dek kelusuhan pakaian-pakaian tersebut membuat kebanyakan awam berpendapat ianya kotor, kelas kedua tidak kurang jua yang mengaitkan dengan penagihan dadah. Meskipun pakaian tersebut bersih dan menutup aurat.


Sikap masyarakat ini seringkali menjadi cabaran besar bagi semua UNDERGROUNDERS dan selalunya langkah terbaik untuk mengelak dari cacian ialah tutup mata pekak telinga. Tiada apa yang dapat diubah kerana hakikat manusia memilih yang cantik. Yakah begitu?


“Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang menganggap dirinya bersih? Sebenarnya Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya dan mereka tidak dianiaya sedikit pun.” (An-Nisaa’:49)

Kekadang terbit persoalan perlukah ada double standards pada pakaian yang lama atau terpakai. Perlukah dihina diri pemakai akan pakaian pakai 2nd hand ini? Walhal, jika diamati, hakikat diri entiti tubuh manusia menyatakan bahwa tiada satu pun unsur baru. Kesemuanya, bermula dari tisu, organ, maupun alam sekeliling mereka hanyalah bahan guna semula.


Atom dan molekul sebagai asas yang membentuk alam dan manusia adalah atom yang dulu, yang hadir sejak dari mula. Masa hanya merubah bentuk penggabungan atom-atom ini bukan unsur atom tersebut. Misal contoh:


Satu atom oksigen yang berasal dari satu mayat diurai oleh bakteria telah berpadu ia dengan atom hidrogen lalu membentuk molekul air di dalam tanah. Air itu berkembang menjadi mata air lalu disedut oleh akar rumput. Oksigen pada air tadi kini terpecah ikatan lantas bersatu dengan atom-atom lain membentuk molekul klorofil pada dedaun rumput. Seekor kerbau datang meragut rumput itu dan tindak balas dalam tubuh kerbau menukarkan oksigen pada dedaun rumput tersebut menjadi struktur protein yang membentuk dagingnya. Tiba waktunya kerbau disembelih dan dagingnya dijual, dibeli, dimasak dan dimakan manusia. Akhirnya kembali atom oksigen tadi kepada tubuh manusia.


Jadi apa yang dibanggakan manusia pada benda baharu? Sedangkan keseluruhan tubuh dan alam sekeliling mereka adalah bahan kitar semula yang hadir sebagai pelengkap kepada satu ekosistem.


“Dia-lah yang menghidupkan dan mematikan dan hanya kepada-Nya-lah kamu dikembalikan.”(Yunus: 56)

This article dedicated to all Picad Undergrounders. Where and who you are just nothing important. May GOD bless you and your family.


Aku pulang pada kalian (yang terbanyak)

Friday, February 13, 2009

MATInya KEHIDUPAN


Butakan MATA dan LIHATlah,
Kelukan LIDAH dan BICARAlah,
Pekakkan TELINGA dan DENGARIlah,
Buangkan HIDUNG dan HIDUlah,
Matikan RESEPTOR dan RASAIlah.

Bangkit dari KEMATIAN
kepada KEHIDUPAN yang HAKIKI

Aku pulang pada kalian (yang terbanyak)